sejarah

Monday, March 21

Aku dan Sajak

Wah, lama aku tak menaip! Al maklumlah, sibuk yang amat!

Oh, aku dan sajak? Kaitan? Memang ada kaitan. Kenapa ada kaitan? Sejak bila? Bagaimana? Di mana? Nak dikatakan, aku mula menulis sajak sejak form 4 lagi. Sebabnya ada pertandingan sempena minggu sains dan inovasi sekolah. (motif sajak pasal sains dan inovasi? boleh sajo) Dan lebih indah, aku menang tempat pertama!!! Dari situlah aku suka menulis dan mendeklamasikan sajak. Nak dikatakan ayat berbunga-bunga tu, tidaklah sangat. Bolehlah.

Kebetulan pula, semester ini ada event berkaitan sajak ni. Anjuran Desasiswa Fajar Harapan, desa tercinta! Bayangkan, mereka nak buat rekod deklamasi sajak selama 72 jam tanpa henti! Wah! Sekaligus menempa nama dalam Malaysia Book of Records! 

Apalagi, tak mahu melepaskan peluang, aku pun menyumbang sajak nukilan aku sendiri. Pertama kali juga aku membuat sajak lebih 100 baris! Aduh, pecah otak memerah idea. Temanya Nusantara dan juga berkaitan Sahabat Selamanya. 

Mendengar dan membaca komen daripada penganjur, ada yang menyumbangkan puisi seperti teks sejarah dan juga ala-ala ceramah. Hmmm, aku? Tak pastilah. Kalau aku menulis sajak, bahasanya akan agak keras dan kadang-kadang disulami ayat-ayat sentap. Oh, itu  cara aku, aku selesa. Kurang bijak menjiwangkan ayat ni, al maklumlah, masih bujang... *o*

Tahniah buat mereka sebab dah pun berjaya menempa nama dalam rekod Malaysia pada petang tadi. Malah ia juga disifatkan sebagai rekod cerdik oleh Siti Jarum dalam Pancaindera pada Ahad lepas (bukan semalam). Tahniah sekali lagi!!!





nota kaki: sedih tak dapat deklamasikan sajak sempena progam tersebut...
nota kaki lagi: baca sajak aku untuk program tersebut di sini

Aku dan Engkau

Angin bayu Selat Melaka
Membelai lembut tubuhku
Deruan ombak menghempas pantai
Menenangkan hati yang lara
Menikmati keindahanNya

Tatkala sang matahari melelapkan mata
Hanya untuk satu malam
Sang bulan pula mengganti
Menerangi malam yang buta

Dua benda berbeza
Bulat, nun jauh di angkasa
Namun tetap menerangi kita
Hanya dipisahkan sang Bumi

Seperti bulan dan matahari
Bagaikan ada samanya
Antara aku dan engkau
Tuturnya hampir sama
Juga caranya, fikirannya

Benar dunia kata
Kita ibarat kembar
Tapi tidak serupa
Mereka laungkan kata keramat
Kita sahabat selamanya
Ia tiga perkataan
Digabungkan menjadi satu bibit indah
Hanya dipisahkan melalui nama dan lautan
Tapi itu bukan penghalang
Walau berbeza makna
Telagah kita mainkan
Kita tetap bersaudara, bersahabat

Lemah gemalai tari dilenggok
Alunan irama menusuk jiwa
Bait puisi indah dikarang
Bahasa ditutur penuh sopan
Adab Timur menjadi pegangan

Itulah uniknya kita
Itulah samanya kita
Kita kongsi, kita bahagi
Semuanya sama rata
Biar tiada masamnya
Tidak menjadi dingin hendaknya
Aku tak nak
Engkau pun sama
Dua-dua dapat merasa
Inilah nikmatnya sahabat

Pernah terdetik hati
Sampai bila kita harus bersama?
Aku adalah aku
Engkau adalah engkau
Kenapa perlu bersama, berdua?

Terus aku teringat
Untuk renung sedalamnya
Ruginya hidup ini
Pabila tiada sahabat di sisi
Parahnya aku tanpa engkau
Aku berasa sunyi
Aku berasa bersendirian
Aku berasa kosong
Aku hanya ada aku
Tiada yang lain
Benar, aku tidak dusta
  
Adakah akan kita lupa?
Selat Melaka kita kongsi bersama
Laut China Selatan juga kita kongsi
Mengapa hendak ada jurang?
Pentas Sunda medan bersatu
Buktikan kepada sang dunia
Kita memang kembar

Ingatlah wahai abangku, kakakku
Juga buat diriku
Kita satu rumpun, Nusantara
Jangan pernah sekali pun
Terbit rasa sombong
Terus bertelagah isu lapuk
Terus bertelingkah isu usang
Engkau kata aku salah
Aku kata engkau yang salah
Tak nak lagi begitu
Cerminkanlah santun kita
Kitakan orang Timur
Dunia memandang, mengagumi kita

Biarlah lidah ini pernah bertikam
Tarian Pendet kita bertelagah
Batik juga kita pertikaikan
Namun aku yakin
Air takkan pernah putus
Biar setajam mana
Bilah ingin membelah

Sahabatku di seberang
Genggamlah erat tangan ini
Yakinlah pegangan ini
Kerana aku takut nanti
Ada yang membenci
Ikatan utuh diracuni
Aku tak sanggup lagi

Jika engkau tiada di mata
Tiada di tangan
Terasa gundah di jiwa
Kosong benar tanpamu
Meraung seribu tahun
Kerana aku perlu engkau
Engkau perlu aku
Ini janji kita
Kita sahabat selamanya





`ammar aziz
14 Mac 2011, 2:17 AM